Thursday, September 9, 2010

Status solat jumaat pada hari raya

diambil dari sini

Assalamualaikum ustaz, saya inginkan kepastian, adakah gugur kewajipan solat jumaat sekiranya hari raya aidilfitri atau hari raya aidil adha jatuh pada hari jumaat?

Jawapan:

:الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام علي رسول الله وبعد

Insyaallah tarikh melihat anak bulan Syawal 1431H ialah pada hari Rabu 29hb.Ramahdhan bersamaan

8hb.September 2010. Mengikut kiraan falak, waktu 'ijtimak bulan' berlaku pada 8hb.September 2010 jam 6:29:38 petang waktu Malaysia. Manakala waktu maghrib pula ialah pada pukul 7.15pm. Berdasar kepada waktu ijtimak dan waktu terbenam matahari, dari sudut kiraan falak bahawa hilal Syawal 1431H tidak dapat dilihat. Begitu juga berdasar deklarasi Istanbul 1978 mengenai kebolehnampakan anak bulan bahawa hilal Syawal 1431H tidak boleh dilihat. Oleh itu berdasar kiraan falak dan deklarasi Intanbul (1978), maka hari Khamis ialah 30 Ramadhan dan satu Syawal 1431H dijangka jatuh pada hari Jumaat bersamaan
10hb.September 2010. Walaubagaimana pun kita di Malaysia perlu menunggu pengumumam rasmi oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Melayu bagi mengisytiharkan satu Syawal untuk tahun 1431H.

Persoalan timbul di sini ialah jika sekiranya hari raya Aidil Fitri jatuh pada hari Jumaat, apakah status solat jumaat masih wajib atau ia gugur kerana berlaku dua perayaan dalam satu hari.

Sebenarnya perkara ini adalah masalah khilaf dan telah dibincangkan oleh ulama semenjak ratusan tahun yang lalu. Ringkasnya, berdasar hadis-hadis dan pemahaman ulama dalam mengistinbat hukum syarak, maka lahirlah pandangan-pandangan seperti berikut:

1) Mazhab Hanafi: Solat Jumaat wajib ditunaikan. Solat sunat hari raya tidak menggugurkan kewajiban solat Jumaat.
2) Mazhab Maliki: Solat Jumaat wajib ditunaikan. Solat sunat hari raya tidak menggugurkan kewajiban solat Jumaat.
3) Mazhab Shafie': Wajib menunaikan solat Jumat bagi penduduk kampung yang bermastautin dan gugur tuntutan tersebut bagi penduduk dari kampung yang berlainan. Pandangan ini merupakan pandangan Imam Shafie' yang sahih.
4) Mazhab Hambali: Tidak wajib solat Jumaat samada penduduk tetap atau tidak. Kewajiban solat Jumaat gugur selepas mendirikan solat sunat hari raya tetapi wajib solat zohor.

Bagi kita di Malaysia saya cenderung supaya kita mengikut fatwa yang telah dikeluarkan oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri Johor seperti berikut:

"Alhamdulillah Fatwanya:

Pada hari itu ( Aidilfitri dan Aidiladha jatuh pada hari Jumaat ) kewajipan menunaikan solat fardu Jumaat diwajibkan ke atas lelaki muslim yang bermastautin dan ahli Qariyah setempat.

Adapun orang yang bukan ahli Qariyah setempat yang ingin pulang menziarahi ahli keluarganya, dizinkan dia pulang untuk tujuan berziarah dan kembali semula mereka itu untuk mendirikan solat fardu Jumaat, jika dia berkuasa berbuat demikian. Adapun jika tiada berkuasa berbuat demikian ( hadir semula ke masjid untuk menunaikan solat fardu Jumaat ) maka tiada berdosa. Tetapi adalah lebih baik jika mereka yang terlebih agar menunaikan selepas solat Aidilfitri sehingga selesai solat fardu Jumaat.

Adapun mereka yang di bolehkan meninggalkan solat Fardu Jumaat adalah beberapa golongan :

1) Kaum wanita
2) Lelaki yang bermusafir
3) Hamba
4) Lelaki yang sakit ( uzur syar"ie )

Solat fardu Jumaat adalah merupakan satu syiar daripada syiar-syiar Agama Islam yang perlu dijaga dan dilaksanakan. Berjamaah di dalam menunaikan solat fardu Jumaat adalah wajib fardu ain ( yang dikehendaki dilaksanakan oleh setiap muslim yang cukup syarat-syaratnya berbuat demikian ).

Islam sentiasa memberi perhatian terhadap perpaduan dan kesatuan di kalangan umat Islam dan melarang sama sekali wujudnya punca-punca yang mengakibatkan perselisihan faham dan perbezaan pendapat yang akhirnya membawa kesan negatif kepada penduduk setempat".

Sebagai kesimpulan, permasalah ini berlaku khilaf ulama. Adalah wajar dalam beramal dalam masalah khilaf yang menyentuh pandangan orang ramai agar dapat mengelak daripada berlaku perbezaan dan perselisihan yang tidak sihat. Apalagi masyarakat Islam di Malaysia masih ramai yang jahil dan sifat keterbukaan mereka masih di tahap yang rendah.

Sekian والله أعلم بالصواب

Rujukan:
1) Fiqh Sunnah, Syed Sabiq.
2) Raudhah at-Tolibin, Imam Nawawi.
3) Bidayatul Mujtahid: Ibnu Rusyd.
4) Fiqh Muyassar, Ahmad Isa 'Ayur.
5) Pelbagai.

Disedikan oleh:
Ustaz Ahmad Zainal Abidin
Setiausaha MUIS

0 comments:

Post a Comment

About me

My photo
Malaysia
Hamba tuhan yang mencari redhaNya..... Meniti kehidupan ke arah kematian... Sentiasa terbuka dalam berbincang.... Menulis ke arah pembangunan jiwa..... tiada yang lain,hanya kerana Allah...
 

Suara Dari Hati Ke Hati Design by Insight © 2009