Friday, November 12, 2010

Ujilah Orang Yang Petah Lidahnya

0 comments
(bacaan yang agak berat....hanya kepada yang sudi membaca)
Ujilah Orang Yang Petah Lidahnya
Sekiranya kita menyelidiki sejauhmana ilmu yang penting ini diimplimentasikan, nescaya kita dapati kecacatan-kecacatan ketara yang berlaku dalam harakah Islam zaman ini adalah kerana tertipu oleh kepetahan ahli pidato dan sijil-sijil akademik atau kemasyhuran seseorang. Mereka
dilantik sebagai pemimpin sebelum mereka diuji. Akibatnya, dakwah ditimpa bencana kerana nama dakwah dilibatkan dengan mereka. Logam yang tidak bermutu akan terserlah bila berlaku bila berdepan dengan ancaman atau pujukan atau ketika polisi haraki memerlukan fiqh dakwah untuk difahaminya. Akhirnya mereka sendiri berpaling tadah.


Keimanan, fiqh dakwah, banyak terlibat dalam amal tajmi’I dan tarbawi dan jelas ketaatan adalah merupakan pengukur dalam pemilihan ahli dan mengangkat seseorang sebagai ketua. Sistem dan syarat pemilihan dalam jawatan kerajaan atau kebiasaan persatuan lain bukanlah cara kita.


Bahkan da’I hendaklah berwaspada, takut dan berjaga-jaga terhadap mereka yang petah lidahnya, banyak bercakap dan mengada-ngada kerana biasanya banyak kemunafikan dan kelemahan dari golongan seperti ini.


Da’i hendaklah jangan cepat percaya mereka yang bersifat begini kecuali setelah mengetahui hakikatnya dengan menguji, memerhatinya dengan teliti dalam satu tempoh yang lama. ‘Tauthiq’ hendaklah dibuat setelah teruji dan melihat tanda-tanda iman dan dan kejujuran.


Da’i ada contoh dalam hal ini dari para salaf. Amirul Mukminin Umar al-Khattab apabila beliau rasa bimbang terhadap al-Ahnaf bin Qais kerana al-Ahnaf merupakan ahli pidato yang mahir dan pintar. Lalu, Umar menahannya selama setahun di Madinah untuk diperhati dan diuji. Setelah itu barulah beliau berkata: “Wahai Ahnaf, sesungguhnya aku telah memerhati dan menguji engkau. Tidak ada apa yang kulihat kecuali kebaikan dan aku telah melihat zahirmu yang baik dan aku berharap supaya hatimu sama dengan zahirmu. Kami pernah mengatakan: “Tidak ada apa yang membinasakan umat itu kecuali orang munafik yang bijak.”
Umar telah menulis surat kepada Abu Musa al-Asy’ari: “Dekatilah, mintalah pendapatnya dan dengarlah pendapatnya.”


Betapanya ramai anggota di sekitar dakwah yang wajib diuji oleh pemimpin dakwah. Da’i sangat memerlukan ilmu seperti Umar al-Khattab ini. Betapa ramainya orang yang bercakap Islam dan anda lihat promosi tentangnya telah mengangkatnya begitu tinggi. Apabila anda bergaul dengannya, tiba-tiba anda dapati dia adalah seorang opoturnis, kosong hati dan roh.


Memang benarlah kata-kata Abdul Wahab Azzam:
"Sesungguhnya ada orang yang wajahyah berseri-seri, memenuhi mata dengan
bunga dan kesegaran
Orang yang celik memandangnya sebagai bunga buatan, hidupnya tidak
memberikan keharuman dan kesegaran."


Oleh kerana demikianlah, salafussoleh terus menerus menasihatkan tentang betapa perlunya dilakukan ujian-ujian ini, sepertimana yang dikatakan oleh pemimpin tabi’in Hassan al-Basri:
“Nilailah manusia melalui amalan mereka, bukan kata-kata mereka. Sesungguhnya Allah tidak membiarkan satu perkataan pun melainkan dijadikan satu bukti dari perbuatan sama ada membenarkannya ataupun mendustakannya.


Sekiranya kamu mendengar kata-kata yang baik maka perhatilah dahulu pengucapnya. Sekiranya kata-katanya selaras dengan perbuatannya maka itulah sebaik-baiknya. Bersaudaralah dengan dia dan cintailah dia. Sekiranya kata-katanya bertentangan dengan perbuatannya, maka apa lagi yang samar? Apa lagi yang disembunyikannya daripadamu?. Berwaspadalah dengannya. Janganlah kamu terpedaya dengannya.”

Demikianlah wasiat lama dari salafussoleh. Tetapi, manusia sering terlalai. Keinginan untuk segera sampai dan keinginan untuk meramaikan ahli itulah yang melalaikan da’i hingga lupa ilmu yang dipusakai oleh salafussoleh.

-MAAR

About me

My photo
Malaysia
Hamba tuhan yang mencari redhaNya..... Meniti kehidupan ke arah kematian... Sentiasa terbuka dalam berbincang.... Menulis ke arah pembangunan jiwa..... tiada yang lain,hanya kerana Allah...
 

Suara Dari Hati Ke Hati Design by Insight © 2009